Jika semalam kelakuan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang
melakukan ‘selfie’ bersama Perdana Menteri Britain dan PM Denmark ketika
menghadiri upacara memperingati mendiang Nelson Mandela dikritik, hari
ini keluar pula satu lagi cerita menarik ketika upacara tersebut
berlangsung.
Persatuan Orang-orang Pekak Afrika Selatan, DeafSA memaklumkan, orang
kelainan upaya yang menyaksikan ucapan pada hari berkenaan tidak faham
dengan bahasa isyarat yang dipertontonkan kepada mereka.
Dalam erti kata lain, lelaki yang tampil memakai pas keselamatan
rasmi dan berkongsi pentas dengan Presiden mereka, Jacob Zuma serta
Obama mempersembahkan bahasa isyarat yang menipu dan tidak mahir
langsung. “Dia menggerakkan tangannya tanpa sebarang makna,” ujar pengarah
nasional DeafSA yang kesal dengan kejadian dalam upacara besar seperti
itu.
Lelaki yang tidak dikenali itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa sana bagaimana tugas tersebut diberikan kepadanya. Dalam majlis mengingati mendiang Nelson Mandela kelmarin, lebih 50
pemimpin dunia dan Komanwel hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Malaysia diwakili oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk
Seri Dr Maximus J. Ongkili. – MyNewsHub
No comments:
Post a Comment